[VIDEO] Kalau anak jantan, buka balik TikTok saya - Sanusi

Muhammad Sanusi (depan).
Muhammad Sanusi (depan).
A
A
A

BANDAR BAHARU - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tindakan pihak yang menyekat akaun media sosial TikTok miliknya sebagai penakut.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mengarahkan pihak berkenaan supaya akaun tersebut dikembalikan.

"Dalam keadaan 'perang' ini mereka telah menyalahgunakan kuasa untuk mempengaruhi syarikat TikTok, untuk sekat TikTok saya sehingga saya tiada ruang untuk sampaikan (maklumat) dengan cepat kepada orang ramai.

"Kalau hampa anak jantan, buka balik akaun TikTok saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir ke Majlis Penyerahan Geran Tanah peringkat Daerah Bandar Baharu di sini pada Ahad.

Dakwa Muhammad Sanusi, dengan tindakan 'drakonian' Kerajaan PH-BN menyekat akaun TikTok itu telah membuatkan lebih ramai rakyat membenci gabungan tersebut.

"Saya tahu hampa takut kat saya tapi jangan tunjuk sangat kat orang," katanya.

Beliau dalam masa sama menjelaskan, pegawainya telah mencipta akaun baharu buatnya pada ketika ini, namun belum melihatnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah dikatakan tidak boleh diakses oleh semua pengguna aplikasi itu.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, akaun yang mempunyai 432,700 pengikut itu tidak boleh diakses bermula Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!