Chong Wei imbau kenangan bersahur di bulan Ramadan

No Image Caption
A
A
A

SEMPENA kedatangan Ramadan, jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei berkongsi kenangannya ketika kecil, menjalani latihan bersama rakan sepelatih sewaktu tibanya bulan puasa.

Menulis di laman Facebook beliau, atlet berusia 37 tahun itu menceritakan lazimnya semasa mereka menyertai pertandingan, mereka akan sama-sama tidur di asrama bersama rakan lain.

Menurutnya, apabila siren untuk sahur berbunyi, mereka akan bersahur beramai-ramai dengan rakan sepasukan dan pemain lain.

“Dari dulu, sejak saya masih berjinak-jinak dengan dunia sukan, selalu juga ikot pasukan daerah dan negeri bertanding luar negeri. Selalunya tempat tidur di asrama. Teammate (rakan pasukan) Melayu Cina India, semua ada.

“Yang paling best (seronok), bila latihan dan pertandingan semasa bulan puasa. Siren untuk sahur, sahur juga kita. Sahur beramai-ramai dengan rakan sepasukan dan pemain-pemain lain.

“Itu salah satu kenangan terindah saya ketika membesar,” tulis beliau.

Tambah Chong Wei, ketika berlatih, pemain bukan Islam menghormati rakan sepasukan yang sedang berpuasa dan jika hendak minum air, mereka akan minum di hujung gelanggang.

“Semasa latihan, ada rakan yang puasa. Kita hormat, nak minum air, kita minum air di hujung gelanggang. Ada juga cerita kelakar, kadang-kadang ada juga suruh saya jadi tukang tapao (bungkuskan makanan).

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah antara kisah kecil yang berkait dengan kita, menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut mencoret ucapan khas Ramadan buat semua umat Islam di Malaysia.

“Hari ini hari pertama bulan Ramadan. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengumpul sepuluh jari minta maaf kepada semua dan mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada semua kawan beragama Islam.

“Kepada yang tak berpuasa, tolong hormat kawan-kawan yang berpuasa. Bersabar, cuba jangan makan gelojoh depan yang berpuasa, terutamanya di Bazaar Ramadan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!