Kakak rayu, tawar saguhati pulangkan duit hasil titik peluh adik
JERTIH - [DIKEMAS KINI] Keluarga kepada mangsa yang kehilangan wang akibat terjatuh dari kereta dan bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini menawarkan bayaran saguhati kepada mana-mana pihak yang memulangkan kembali wang tersebut.
Wan Mastura Wan Leh, 26, yang merupakan kakak kepada Wan Ibrahim Wan Leh, 24, turut merayu pihak yang mengambil duit hasil titik peluh adiknya itu dapat mengembalikan wang berkenaan.
"Kami berharap dengan pemberian saguhati itu membolehkan lebih ramai lagi dapat memulangkan semula wang yang mereka kutip pada tempoh hari
"Kami sekeluarga merayu untuk pulangkan kembali duit tersebut sebab ia merupakan duit hasil titik peluh adik selama ini dengan menjalankan perniagaan kedai gunting rambut.
"Duit itu sebenarnya digunakan untuk kembangkan perniagaan kedai gunting rambut adik saya selain nak beli kereta sendiri. Namun disebabkan kejadian itu, dia terpaksa menangguhkan hasratnya buat sementara waktu ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat, seorang lelaki mendakwa kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, pada jam 11 pagi Khamis.
Ibu lelaki itu, Che Safiah Abdullah, 63, berkata, anaknya Wan Ibrahim Wan Leh, 24, terlupa yang beliau telah meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Mastura berkata, Wan Ibrahim kini sudah berada dalam keadaan baik dan semangatnya kembali pulih memandangkan sebelum ini dia mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik akibat kejadian tersebut.
"Dia senyap dan tak lalu nak makan selain hanya berkurung dalam bilik masa kejadian tempoh hari. Alhamdulillah, keadaan adik kini kembali pulih dan dia sudah mahu berbual dengan ahli keluarga lain.
"Kami cuma berdoa dan berharap baki duit lain itu dapat ditemui dengan segera malah lebih ramai tampil selepas ini untuk kembalikan semula wang berkenaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Mastura berkata, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu boleh hubunginya di talian 013-5395538.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!