Tokan dadah diberkas, kereta terbabas di ladang kelapa sawit

Kereta Proton Wira yang dinaiki suspek terbabas di ladang kelapa sawit selepas dikejar kastam pada 11 Julai lalu. Gambar kecil: Zazuli
Kereta Proton Wira yang dinaiki suspek terbabas di ladang kelapa sawit selepas dikejar kastam pada 11 Julai lalu. Gambar kecil: Zazuli
A
A
A

PORT DICKSON - Cubaan tiga lelaki untuk menyeludup dadah ke negara jiran gagal selepas kereta dinaiki mereka terbabas di ladang kelapa sawit selepas dikejar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini pada 11 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, kegiatan suspek dikesan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam dengan dibantu Pasukan Operasi Tempur Medan Kastam (Cobra) kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, suspek yang menaiki Proton Wira itu telah diekori dari sebuah stesen minyak di Telok Kemang sebelum cuba ditahan di Taman Bukit Perdana.

"Namun, suspek telah memecut laju dan bertindak menghimpit kenderaan penguat kuasa menyebabkan kenderaan terbabas.

"Semasa terus dikejar, suspek dilihat telah mencampakkan satu beg kertas berwarna perang dari tingkap penumpang belakang sebelum terbabas di ladang kelapa sawit di Jalan Politeknik 14, Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, seorang suspek berusia 27 tahun yang juga bekerja sebagai tukang rumah berjaya diberkas.

Katanya, dua suspek yang melarikan diri kini masih dalam buruan pihak kastam.

"Pemeriksaan ke atas beg kertas yang dijumpai berisi dua bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.9 kilogram bernilai RM64,350," ujarnya.

Tambahnya, dadah terbabit disyaki akan dihantar ke negara jiran melalui jalan laut.

"Suspek kini direman 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!