Syarikat utiliti jangan ambil mudah kerja turap semula jalan raya

Nanta (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian Persimpangan Eco Ardence di Setia Alam, hari ini. - Foto Bernama
Nanta (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian Persimpangan Eco Ardence di Setia Alam, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat utiliti digesa untuk tidak mengambil mudah terhadap kerja baik pulih melibatkan penurapan dan tampalan semula permukaan jalan raya, selepas melakukan kerja mengorek sesuatu kawasan untuk proses penyelenggaraan perkhidmatan masing-masing.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mereka seharusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjaga sekiranya proses tampalan dan penurapan jalan raya yang dilaksanakan tidak sempurna.

"Saya akui kita (Kementerian Kerja Raya) ada menerima aduan daripada pengguna, berikutan kerja yang dibuat itu tidak dijalankan dengan sepatutnya. Selepas buat kerja (korek dan tampal jalan) mereka tidak baik pulih semula (seperti keadaan asal).

"Saya ingatkan syarikat utiliti, jangan suka-suka selepas buat kerja dan biarkan saja LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia), menanggung apa sahaja masalah yang lagi teruk. Ini akan menimbulkan masalah keselamatan dan keselesaan kepada pengguna,” katanya selepas merasmikan Persimpangan Eco Ardence di Setia Alam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nanta menyifatkan pembukaan persimpangan tersebut merupakan bukti kerjasama yang utuh antara pihak kerajaan dan swasta, dalam memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan persimpangan yang dilaksanakan bermula pada September 2019 dan siap pada 26 Mac 2023 dengan kos RM50 juta itu, ditanggung sepenuhnya oleh pihak Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia).

"Tujuan persimpangan ini untuk menyediakan laluan yang lebih cekap dan mudah untuk ke kawasan perumahan dan komuniti setempat, bagi mengakses Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) dan juga ke perbandaran Eco Ardence.

"Penambahbaikan infrastruktur ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dengan menghapuskan keperluan untuk membuat pusingan U sebelum plaza tol, yang mempunyai risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!