Kerajaan tiada kuasa sekat akaun TikTok - Saifuddin
SHAH ALAM - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, ini kerana aplikasi sosial TikTok itu bukan milik kerajaan tetapi sebuah syarikat teknologi dari China.
"Tiktok ni siapa punya? Bytedance.Ltd firma teknologi dari China. Untuk pengguna TikTok macam juga platform media sosial lain, tertakluk pantang larang yang boleh dan tidak boleh.
"Kerajaan Malaysia ada kuasa ban akaun TikTok kita? Jawabnya tidak. Kalau TikTok terima banyak laporan dan aduan oleh pengguna lain, maka TikTok sekat akaun yang mencetuskan isu," katanya menerusi laman Facebook pada Ahad.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad mendakwa Malaysia mahu bergerak menjadi seperti Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas akaun TikTok miliknya disekat.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan tindakan berkenaan seolah-olah kerajaan takut kebebasan media, sekali gus menyebabkan beliau serta PN tidak mampu menangkis serangan dimainkan oleh pihak lawan.
Tambah Saifuddin Nasution, TikTok Muhammad Sanusi disekat oleh masyarakat bukannya kerajaan kerana mereka yang membuat laporan.
"Hari ini Menteri Besar Kedah kata 'content' TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi Korea Utara.
"Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun banyak kerja lain," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!