Petani gusar bekalan baja lewat
JITRA - Kira-kira 68,000 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di negeri Kedah/Perlis gusar apabila masih belum menerima baja untuk kegunaan sawah bagi musim I/2019.
Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, pengedaran baja sepatutnya telah dijalankan setelah bancian baja dijalankan antara Februari dan Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya lebih mengecewakan sehingga kini terdapat juga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang masih belum menjalankan bancian baja di kawasan masing-masing.
"Kalau bancian pun belum dibuat, lagi lambatlah petani nak dapat bekalan baja malah akan mengganggu tumbesaran anak padi yang akhirnya menjejaskan pendapatan petani," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, ketika ini ramai petani di kawasan Mada sudah menjalankan kerja-kerja menabur benih padi.
"Mengikut jadual yang dikeluarkan, selepas anak padi berusia 15 hari, petani perlu menabur baja untuk kali pertama, diikuti baja kedua selepas 30 hari dan baja ketiga selepas 45 hari.
"Jika masalah kelewatan ini tidak dipandang serius, saya yakin hasrat Mada untuk meningkatkan pendapatan petani sehingga 10 tan metrik sehektar akan gagal.
"Isu ini bukan sahaja mengurangkan pendapatan petani malah turut menjejaskan stok beras negara yang bergantung 40 peratus dari petani kawasan Mada," katanya.
Che Ani berkata, beliau berharap Mada dan juga agensi-agensi terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini.
Sementara itu, seorang petani, Hussin Yaakob, 46 berkata, dia kini dalam proses menabur benih padi di kawasan sawahya.
"Tapi, kami dapat tahu tarikh untuk bancian baja adalah pada 11 Jun depan, sebulan lagi nak tunggu.
"Saya susah hati juga, bila nak boleh tabur baja kalau bancian baja pun lambat lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!