Pelaksanaan SARa di Semenanjung bermula esok

Pelaksanaan SARa melibatkan penerima STR dalam kategori miskin tegar yang bermula Isnin akan dibuat melalui dua kaedah. - Gambar hiasan
Pelaksanaan SARa melibatkan penerima STR dalam kategori miskin tegar yang bermula Isnin akan dibuat melalui dua kaedah. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARa) melibatkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar yang bermula Isnin akan dibuat melalui dua kaedah.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, bagi semua penerima di Semenanjung, bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan mulai Julai akan disalurkan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.

Katanya, penerima boleh membuat pembelian di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara.

"Pelaksanaan SARa akan dibuat mulai 17 Julai melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

"Di negeri-negeri lain seperti Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula, pelaksanaan akan dibuat pada 31 Julai, manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 7 Ogos," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berkata, seramai 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima SARa berjumlah RM600 mulai Isnin.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.

Sementara itu, Kementerian Kewangan menjelaskan, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan hampir RM130 juta di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.

Justeru katanya, dengan sumbangan yang diberikan itu diharap mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!