MCA tumpu remajakan parti, pastikan kekal relevan

Ka Siong (tiga dari kiri) berkesempatan beramah mesra dengan ahli-ahli MCA selepas Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan, Seremban pada Ahad.
Ka Siong (tiga dari kiri) berkesempatan beramah mesra dengan ahli-ahli MCA selepas Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan, Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - MCA dalam proses meremajakan parti itu untuk kekal relevan dan diterima rakyat seterusnya memberi tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, secara relatifnya ahli parti itu semakin berusia malah mereka yang berumur lebih 40 tahun sudah mencecah 90 peratus.

"Jadi kita perlu meremajakan (parti) dan perlu lebih ramai anak muda seawal usia 18 tahun menyertai kita untuk kekal relevan dan memahami masalah generasi muda ini untuk kita pergi lebih jauh.

"Platform dalam politik ini luas tetapi kita hanya menganggap bahawa mereka (anak muda) tidak suka politik, kadang-kadang ia bukan tentang politik semata-mata sebab kita perlukan mereka untuk menjadi sukarelawan contohnya dalam Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ka Siong turut berpendapat mereka perlu melatih lebih ramai bakat-bakat baharu yang petah berbahasa, mempunyai ilmu untuk membidas dan menepis segala persepsi salah.

"Kalau seorang itu petah berbahasa Melayu, pergi ke kampung cakap Melayu dan dia dapat meyakinkan masyarakat di situ, begitu juga ketika bercakap dengan orang Cina dengan berfakta, ada auranya.

"Jika kita ada berpuluh orang macam itu rasanya orang akan nampak kewujudan MCA sebagai sebuah parti yang relevan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ka Siong mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bertanding di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) negeri ini sebaliknya akan membantu Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan gabungan itu.

MCA dan MIC sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini bagi memberi tumpuan terhadap PRU16.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghormati keputusan itu dan menghargai pendirian ditunjukkan oleh kedua parti berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!