Henti normalisasi rasuah ‘menyamar’ dalam bentuk hadiah
SHAH ALAM - Ahli politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti diminta untuk menghentikan normalisasi rasuah dalam bentuk hadiah seperti makanan atau wang ringgit demi meraih undi rakyat.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Pulau Pinang, Profesor Dr Zainal Alimuddin Zainal Alauddin berpandangan, rasuah yang ‘menyamar’ dalam bentuk hadiah dianggap ringan, tidak jelas dan mengelirukan orang ramai.
“Segelintir daripada mereka menjelang PRN nanti akan ingat adalah hadiah bukannya rasuah, begitu juga sebaliknya.
“Kedua-dua perkara itu tidak boleh disokong terutamanya ketika pilihan raya semakin dekat kerana ia taktik meraih undi yang sudah lama dibiasakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Negeri Kedah, Abdul Wahab Yahya berkata, pemberian bantuan berupa wang ringgit atau sumbangan makanan kepada rakyat semasa PRN tidak sepatutnya diamalkan oleh mana-mana parti politik.
Jelasnya, perkara itu boleh dibuat sekiranya ia berbentuk sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Zainal Alimuddin yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat, memberi rasuah menunjukkan seseorang itu tidak berakhlak baik kerana ia berkait rapat dengan tahap keyakinan, kepercayaan dan keimanan.
“Sebelum tindakan atau hukuman dikenakan bagi mereka yang terlibat dalam jenayah ini, adalah lebih penting beri didikan sewajarnya untuk memantapkan lagi nilai moral dalam diri.
“Kita mesti berpesan pada anak muda dan orang kampung supaya jangan terima apa-apa rasuah, hadiah atau perkara lain daripada ahli politik.
“Apabila ada yang tetap ingin memberi, cuba juga untuk menolak pemberian dengan cara baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!