26,000 penuntut asasi, diploma daftar di UiTM September depan

Mohd Imran (enam dari kiri) dan Roziah (lima dari kiri) bergambar bersama pemimpin tempatan dan peserta yang menyertai Program SSM di Dewan Seri Bernam pada Ahad.
Mohd Imran (enam dari kiri) dan Roziah (lima dari kiri) bergambar bersama pemimpin tempatan dan peserta yang menyertai Program SSM di Dewan Seri Bernam pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menerima kemasukan seramai 26,000 pelajar asasi dan diploma bagi sesi pengambilan September depan.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, sebelum ini, lebih 70,000 permohonan telah dibuat bagi menyambung pengajian di universiti berkenaan.

"Sebanyak 76 program diploma ditawarkan bagi kemasukan sesi kali ini dan paling laris sudah tentu perakaunan dan komputer," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program Semarak Siswa Madani (SSM) di Dewan Seri Bernam di sini pada Ahad.

Majlis perasmian itu disempurnakan Presiden Majlis Belia Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Roziah berkata, sebanyak 60,000 pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dijangka membuat permohonan menyertai pelbagai program ditawarkan UiTM bagi kemasukan peringkat ijazah.

Ujar beliau, daripada jumlah itu 25,000 hingga 30,000 sahaja permohonan yang dipilih untuk kemasukan ke universiti berkenaan.

Mengulas mengenai pelaksanaan program SSM, Roziah berkata, inisiatif itu telah membawa inovasi dan idea baharu yang tercetus di Kementerian Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti.

Beliau memberitahu, UiTM merupakan IPT terbesar dari segi jumlah penyertaan institusi dan bilangan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang SSM berlangsung.

"UiTM sangat komited dalam mengangkat bakat dan kemahiran mahasiswa agar dapat dikongsikan serta memanfaatkan masyarakat dalam segenap bidang pengetahuan.

Jelas beliau, UiTM Cawangan Selangor percaya program itu membuka peluang kepada penuntut dan kakitangan universiti mengembangkan kemahiran, bakat serta melatih untuk berfikir secara kritis dan Kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat.

"Pada masa yang sama, program ini telah menjadi platform saluran perkhidmatan kepakaran dan kemahiran daripada warga UiTM cawangan Selangor kepada komuniti terdekat," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!