Kebajikan wanita jadi keutamaan
Golongan B40, ibu tunggal dan kaum ibu diberi perhatian dalam Belanjawan 2023
SHAH ALAM - Kerajaan melalui Belanjawan 2023 terus memperkasakan golongan wanita dengan menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM235 juta bagi mendorong golongan ini meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi perniagaan mereka.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Nur Constance Wah berkata bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini perlu direbut oleh wanita khususnya daripada golongan B40 dan ibu tunggal.
Menurutnya, ada juga pemberian geran yang mencapai sebanyak 80 peratus daripada gaji bulanan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja.
Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.
“Dari aspek sosial, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) juga telah diperkasakan untuk membantu wanita yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga seperti penderaan dan jenayah seksual,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut mengenai bantuan berkenaan, Nur Constance mencadangkan agar semua jenis bantuan hendaklah dipusatkan setempat bagi memudahkan pemantauan dan perkembangan serta impaknya. Oleh itu, portal Belanjawan 2023 adalah salah satu platform di mana mereka di luar sana boleh mendapatkan maklumat yang tepat.
Beliau turut menyarankan supaya bantuan disalurkan kepada wanita B40 dan ibu tunggal yang bercerai dan diabaikan suami dari segi nafkah.
“Tanpa bantuan kerajaan, ia mungkin memberi impak negatif ke atas anak-anak mereka kerana diabaikan.
“Apabila mental dan emosi mereka terganggu ia boleh menyebabkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Jelasnya, dalam memastikan bantuan dan maklumat sampai ke golongan sasar, badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dengan merekrut ibu tunggal dan wanita B40 sebagai ahli.
“Ini termasuk menggunakan media sosial, aktivis masyarakat dan pempengaruh media sosial bagi membantu golongan sasar.
“NGO-NGO ini perlu mempunyai cawangan di seluruh negara bagi membantu golongan ini kerana implementasi bantuan hendaklah sampai kepada sasaran selain mengelak bantuan bertindih,” jelas Nur Constance.
Selain itu, katanya, agensi terlibat boleh melihat kebolehpasaran golongan ini untuk bekerja di tempat yang sesuai supaya golongan ini tidak hanya mengharapkan bantuan di masa akan datang.
“Bantuan kewangan adalah bersifat sementara dan golongan ini perlu berdikari dengan pendedahan ilmu dan tunjuk ajar daripada NGO terlibat,” katanya.
Beri bimbingan
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Komuniti Madani Damansara Damai, Siti Norlin Abd Kadir berkata golongan wanita dan ibu tunggal antara yang diberi perhatian terutama melibatkan pemberian sumbangan bagi membolehkan golongan ini meneruskan kehidupan.
“Setakat ini kita bekerjasama dengan beberapa NGO lain untuk menyelaras bentuk bantuan kepada golongan sasar.
“Pihak persatuan dalam proses membuat pengumpulan data dari semua kawasan perumahan di Damansara Damai dan kita akan salurkannya kepada agensi terbabit bagi mereka memperoleh bantuan, pinjaman perniagaan dan pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bukit Lanjan, Juliana Abu Bakar berkata ketika ini pihaknya giat menjalankan program bagi membolehkan golongan ibu tunggal berniaga dari rumah.
Katanya, pelbagai aktiviti diadakan, antaranya Program Aneka Roti, Program Buat Aiskrim & Yogurt dan Program Agihan Fidyah MAIS melibatkan kira-kira 100 orang tahun ini.
“PWB memperoleh geran berjumlah RM5,000 bagi menjalankan aktiviti berkenaan melibatkan beberapa kawasan di Bandar Sri Damansara dan Damansara Damai.
“Sebagai penggerak kepada inisiatif kerajaan ini, kami yakin bahawa bantuan-bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Jelas Juliana, golongan ini harus diberi tunjuk ajar agar mereka mempunyai peluang dan harapan untuk memperoleh sumber pendapatan sendiri.
“Kebanyakan mereka mempunyai anak yang masih bersekolah dan memerlukan sumber kewangan untuk menampung kehidupan, jadi berniaga adalah jalan paling mudah untuk mereka menjana pendapatan keluarga,” ujarnya.
Layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara mendapatkan bantuan daripada inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan2023
#BelanjawanMADANI
REAKSI WANITA
“Inisiatif kerajaan dapat mengurangkan beban wanita golongan B40 membantu ekonomi keluarga terutama dengan berniaga.” - Yogeswari Elankovan,31.
“NGO banyak memainkan peranan dalam menganjurkan program bagi membantu suri rumah dengan latihan kemahiran untuk menjadi usahawan kecil-kecilan.” - Sarinah Shafie, 50.
“Terima kasih kepada Kerajaan Madani kerana berjaya mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dalam memberikan sokongan emosi dan kaunseling kepada wanita.” - Murni Mt Daud, 49.
“Manfaat DanaNITA banyak membantu usahawan wanita Bumiputera menyertai aktiviti keusahawanan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.” - Mahava Abdul Rashid, 57.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!