Sedia bajet besar untuk wanita
Belanjawan 2023 penuhi keperluan dan hak golongan hawa
SHAH ALAM – Pelbagai peruntukan yang dikhaskan bagi wanita dalam Belanjawan 2023 membuktikan golongan hawa diutamakan kerajaan.
Pakar sosial yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata Malaysia sememangnya sebuah negara yang banyak memberikan keistimewaan kepada wanita.
“Kita di Malaysia tidak pernah timbul isu berkaitan gender (lelaki dan wanita) kerana setiap kali belanjawan dibentangkan, agihan yang dibuat pasti hampir sama dengan peruntukan yang sesuai dengan jumlah populasi wanita dalam negara.
“Saya melihat Belanjawan 2023 turut memberikan penumpuan kepada keperluan, kehendak dan kemudahan yang diperlukan oleh wanita dalam negara,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Malah katanya, wanita turut diberikan peluang dan mandat luar biasa memegang jawatan penting di sektor kerajaan dan kini hampir semua unit dan, agensi mempunyai kakitangan wanita yang menduduki jawatan-jawatan utama.
“Agak sukar untuk kita lihat di sesetengah negara lain memberi mandat kepada kaum hawa memegang jawatan yang boleh membuat keputusan dan memimpin.
“Mereka kurang mengambil tahu bahawa golongan wanita juga berhak untuk menonjolkan diri dan menjadi penyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Februari lalu membuktikan kerajaan sentiasa menyokong jika wanita yang layak dinaikkan di tempat istimewa dalam negara.
Jelasnya lagi, dengan adanya pengklasifikasian kumpulan pendapatan rakyat, ia membuktikan bahawa kerajaan kini benar-benar mahu menyalurkan bantuan kepada kumpulan memerlukan.
Mohammad Shahar berkata sejak pengkelasan kumpulan pendapatan dibuat, telah banyak inisiatif yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan wanita.
Beliau turut mengulas Belanjawan 2023 yang memperuntukkan RM10 juta untuk pelaksanaan Akta AntiGangguan Seksual Melalui Penubuhan Tribunal dan Program Advokasi.
Katanya, tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan martabat kaum hawa sentiasa terpelihara, bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.
“Di samping itu, langkah kerajaan dalam menyediakan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran, mengenal pasti dan menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik menjadi ahli lembaga pengarah melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga merupakan bukti pemerintahan kini tidak meminggirkan mereka.
“Jadi, saya menyarankan semua wanita supaya mengambil peluang ini untuk mempertingkatkan diri bagi masa hadapan yang terjamin dan secara tidak langsung membina kerjaya yang lebih cerah,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan penawaran kursus 'micro-credential' yang berperanan menjadi nilai tambah kepada calon, tidak diabaikan untuk memastikan mereka menjadi pilihan majikan atau kekal relevan dalam kerjaya.
Katanya, apabila kursus itu diambil bagi tujuan pengijazahan atau sijil diploma, ia merupakan peluang yang begitu istimewa.
Lahir usahawan wanita
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia, Datuk Faridah A Jabbar berkata dana pembiayaan perniagaan wanita sebanyak RM235 juta itu memiliki potensi yang baik untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita.
Katanya, peruntukan itu dapat digunakan dalam memberi sokongan kewangan kepada wanita untuk mengembangkan perusahaan atau mereka yang mahu memulakan perniagaan.
“Dana ini secara tidak langsung membantu para wanita mendapatkan akses pinjaman yang menjadi modal pusingan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
“Ini dapat membantu wanita memperoleh pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang berkenaan, selain meningkatkan keupayaan dalam mengurus perniagaan dengan lebih efektif,” katanya.
Namun katanya, adalah penting untuk mengadakan pemantauan dan penilaian bagi memastikan inisiatif tersebut diuruskan dengan berkesan.
“Kriteria pemohon dan pemprosesan permohonan perlulah menggunakan saluran yang betul dengan memantau prestasi usahawan wanita yang mendapat bantuan,” ujarnya.
Layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan2023
#BelanjawanMADANI
Belanjawan 2023 untuk wanita
- Kepimpinan wanita: Program latihan khas oleh SC dalam meningkatkan kemahiran, mengenal pasti dan menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
- Peruntukan RM8.3 juta: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).
- Pemerkasaan wanita RM10 juta: Pelaksanaan Akta Anti Gangguan Seksual Melalui Penubuhan Tribunal dan Program Advokasi.
- Peruntukan RM5 juta: Latihan dan pensijilan profesion penjagaan ibu selepas bersalin MamaCare
- Peruntukan RM1 juta: Program 2 Year Exit Policy yang akan memanfaatkan 300 usahawan wanita.
- Dana pembiayaan perniagaan wanita sebanyak RM235 juta.
REAKSI WANITA
“Saya rasa belanjawan yang mengambil kira kepentingan wanita melalui pelbagai inisiatif ini amat baik, membantu dan meringankan beban kaum wanita juga.” - Adiyatuliyana Roslan, 25.
“Satu usaha yang bagus dalam memperkasakan dan melindungi kebajikan kaum wanita di Malaysia, terima kasih kerajaan!” - Rafidah Najwa Zuber, 25.
“Inisiatif yang sangat baik dan tiada diskriminasi atau tindakan untuk menindas kaum wanita seperti di negara lain. Wanita lebih dihargai.” - Fatin Nur Syahira Mohd Zain, 27.
“Beberapa peruntukan khusus buat kaum wanita ini diharap mampu memberi kemudahan tanpa membezakan kaum atau agama.” - Nur Safikah Khairul Nizam, 25.
“Belanjawan wanita ini dilihat komited dalam mengiktiraf peranan kaum hawa di setiap lapisan masyarakat dan tanpa mengira latar belakang, agama serta etnik.” - Sandra Anthasha anak Dunson, 27.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!