Eropah dilanda gelombang haba melampau

Seorang biarawati mengisi botolnya dengan air minuman dari air pancut di tengah Rom. Rom dijangka mencecah 43 darjah Celsius pada Isnin dan Selasa. - Foto AFP
Seorang biarawati mengisi botolnya dengan air minuman dari air pancut di tengah Rom. Rom dijangka mencecah 43 darjah Celsius pada Isnin dan Selasa. - Foto AFP
A
A
A

ROM - Suhu mencecah hampir paras tertinggi sepanjang masa di Itali dan Sepanyol pada Ahad, dengan suhu yang lebih tinggi diramalkan dalam beberapa hari akan datang, lapor Xinhua.

Gelombang haba terbaharu itu yang ketiga melanda Eropah pada musim panas ini.

Suhu melebihi 48 darjah Celsius direkodkan di pulau Sardinia, di wilayah Apulia di selatan Itali dan di La Palma, Sepanyol, pada Ahad.

Rekod suhu sepanjang masa di Eropah ialah 48.8 darjah Celsius pada 2021 di Sicily.

Seorang pegawai dari Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkata, suhu tinggi di seluruh Eropah itu boleh mencecah atau melepasi paras itu pada bila-bila masa dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Di Itali, 16 bandar termasuk Rom dan Florence berada dalam amaran merah yang bermakna suhu pada bahagian paling panas hari itu boleh mengancam kesihatan walaupun individu muda dan sihat jika mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Laman cuaca Il Meteo menyebut bahawa suhu melampau sepanjang masa ini boleh berlarutan sehingga sekurang-kurangnya Khamis dan cuaca panas akan mula berkurangan disebabkan hujan.

Suhu di Rom dijangka mencecah 43 darjah Celsius pada Isnin dan Selasa, rekod untuk ibu negara Itali itu.

Di Sepanyol, suhu bertambah buruk akibat kebakaran hutan yang menyebabkan 4,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka di La Palma di Kepulauan Canary.

Awal minggu ini, ESA berkata, suhu boleh mencecah rekod kebangsaan di seluruh Eropah dalam beberapa hari akan datang, termasuk di Itali, Sepanyol, Greece, Perancis, Jerman, Portugal dan Poland.

Selain kesan perubahan iklim, suhu yang lebih tinggi itu didorong oleh arus cuaca Afrika yang bergerak ke utara merentasi Laut Mediterranean, faktor setempat seperti kebakaran hutan di Sepanyol dan peristiwa global seperti fenomena cuaca El Nino di Lautan Pasifik.

Corak cuaca panas di Mediterranean menghalang sistem cuaca yang lebih sejuk daripada bergerak ke kawasan itu, kata Mattia Gussoni dari Il Meteo dalam temu bual televisyen. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!