'Sokongan, aura Sanusi semakin melonjak' - Ahmad Yahya

Gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PH-BN semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung - Ahmad Yahya

Ahmad Yahaya.
Ahmad Yahaya.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mendakwa sokongan rakyat dan aura Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semakin melonjak susulan pelbagai isu yang dihadapi pemimpin tersebut sejak akhir-akhir ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, naratif 'Sanusi tidak berbuat apa-apa' sebenarnya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

Menurutnya, gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung.

"Pas Kedah berpandangan politik fitnah yang terus dimainkan oleh kepimpinan PH-BN sedang memakan diri sendiri tanpa mereka sedari.

"Satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar Kedah direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

"Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PH-BN dengan lebih dalam. Segala tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah telah dijawab balas dan ia menggambarkan Menteri Madani tidak tahu selok belok pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa, seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH-BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri.

Jelasnya, sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal bahkan sokongan kepada Muhammad Sanusi pula semakin melonjak naik.

"Pas Kedah yakin PH-BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, 'poster boy' mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh YAB Sanusi.

"PH-BN juga semakin hilang keyakinan terhadap 'poster boy' mereka sehingga memaksa seluruh Menteri Madani turun beraksi di negeri Jelapang Padi ini.

"Insya-ALLAH rakyat di keenam-enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia untuk memastikan PH-BN tersungkur menyembah bumi dan YAB Sanusi sedang memimpin kebangkitan ini," ujarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!