Dadah RM14.4 juta dalam bungkusan sabun pencuci pakaian

Mohd Kamarudin (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohd Kamarudin (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan pelbagai jenis dadah bernilai RM14.4 juta dalam bungkusan sabun pencuci pakaian terbongkar susulan tertangkapnya tiga lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah melancarkan empat serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Klang pada jam 1.40 pagi Khamis lalu.

"Kita menahan tiga lelaki 32 tahun hingga 61 tahun, kita turut merampas dadah jenis methamphetamine seberat 56 kilogram (kg), ketamin 20 kg dan ekstasi 154.3 kg," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.

Mohd Kamarudin berkata, tiga lelaki itu berperanan sebagai kordinator, penjaga stor dan pembekal.

"Modus operandi digunakan sindiket yang disyaki aktif sejak awal tahun ini menjadikan premis kediaman dan rumah kedai sebagai tempat menyimpan dadah.

"Dadah yang diseludup dari negara jiran itu akan diisi dalam bungkusan sabun pencuci pakaian, kemudian mereka menggunakan syarikat logistik untuk diedarkan bagi pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, saringan awal polis terhadap kesemua suspek mendapati mereka negatif dadah.

"Semakan rekod terhadap kesemua suspek mendapati hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod bagi kes jenayah dan dadah," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, tindakan juga diambil dibawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Kita telah menyita aset sindiket antaranya kereta BMW, Lexus, Perodua Bezza, Toyota Vios, barang kemas serta wang tunai dianggarkan bernilai RM389,166," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 861,335 penagih dadah.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!