PRN: JBPM Kelantan pastikan pusat mengundi selamat
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memastikan semua pusat mengundi selamat daripada sebarang kejadian yang tidak diingini termasuklah kebakaran sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, susulan itu pihaknya akan menjalankan pemeriksaan di tempat mengundi sebelum, semasa dan selepas pilihan raya untuk memastikan ia selamat.
"Ia melibatkan pemerikasaan dan keberadaan alat pemadam api serta sistem dan laluan keluar masuk di kawasan pusat pengundian jika berlaku kecemasan," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin
Sebelum itu, beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan Julai 2023 di JBPM Kelantan, Tunjong dekat sini.
Menurutnya, disebabkan bangunan sekolah dijadikan pusat pengundian, maka pihaknya tidak berdepan masalah kerana pemeriksaan berkaitan kecemasan sentiasa dilakukan.
Ujarnya, JBPM akan terus memastikan tempat terbabit tidak mempunyai sebarang halangan jika berlaku sesuatu.
Beliau memberitahu, pihaknya juga akan membuat pemantauan dari masa ke masa sepanjang PRN ini.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan PRN di enam negeri termasuk Kelantan akan bermula 29 Julai bagi penamaan calon dan 12 Ogos sebagai tarikh mengundi.
Di Kelantan sebanyak 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan bagi memilih kepimpimpinan terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!