Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Rabu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja dan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada majlis tersebut.
Beliau berkata, sambutan bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 6,000 tetamu terdiri daripada pimpinan kerajaan, duta asing, pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.
"Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini. Perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat madani yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian,” kata beliau dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, majlis sambutan Maal Hijrah tahun ini akan dimulakan dengan majlis bacaan doa akhir dan awal tahun di Masjid Negara di sini, pada Selasa yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Komunikasi Korporat Jakim, Norzaidan Hamad berkata, perpaduan diangkat sebagai teras utama kepada sambutan Maal Hijrah tahun ini, selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri.
Bagi merealisasikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini, Norzaidan berkata, masyarakat perlu menyingkap kembali peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah serta membentuk sebuah model pentadbiran Islam.
"Baginda membina sebuah negara bangsa di mana di situ terdapat masyarakat Islam dan bukan Islam yang mendapat manfaat daripada pemerintahan baginda.
"Perpaduan itu menjadi asas, jadi elemen itulah yang kita ingin terapkan dalam konteks masyarakat kita bahawa inilah yang dibuat Nabi dahulu bahawa baginda tidak menafikan ruang dan peluang kehidupan masyarakat bukan Islam di sebuah negara Islam. Itulah yang kita ingin buat di negara ini di mana kita juga telah membuktikannya saban tahun di mana masyarakat bukan Islam dapat meraikan perayaan masing-masing,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!