‘Undi parti lain masuk neraka’ bercanggah dengan akidah'

Tangkap layar hantaran Mohd Khairuddin Aman Razali di Facebook.
Tangkap layar hantaran Mohd Khairuddin Aman Razali di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ungkapan ayat ‘undi parti lain masuk neraka’ yang dimainkan segelintir ahli politik jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, seseorang yang mengaku memperjuangkan agama tetapi dengan sewenang-wenangnya ‘menerakakan’ manusia adalah tempias daripada pemikiran takfiri iaitu sikap menuduh orang lain keluar daripada Islam (kafir).

Beliau mendakwa, terma ‘musuh ALLAH’ juga sebahagian tempias pemikiran yang mengkafirkan umat Islam berbeza fahaman politik dan perkara itu masih hidup sehingga kini.

“Ungkapan itu jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak menghukum ‘neraka’ kepada pelaku dosa besar. Sekiranya ALLAH mahu maka ALLAH akan ampunkan dia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sementara itu, beliau menjelaskan konsep mengundi dalam pilihan raya adalah hak memilih yang diberikan dalam negara demokrasi moden, diperakui dan dinilai sebagai sebahagian sistem syura.

Ujarnya, tujuan mengundi adalah untuk memilih wakil rakyat yang boleh menjalankan amanah sebagai pemimpin, menyebarkan kebajikan dan menegakkan keadilan kepada masyarakat.

“Sesiapa yang mengundi seseorang calon dengan niat dan tujuan agar beliau menjalankan amanah sebagai wakil rakyat yang menegakkan kebajikan, mudah-mudahan diberikan pahala oleh ALLAH SWT.

“Secara umumnya, setiap pengundi tidak mengundi untuk calon itu menjadi wakil rakyat yang menzalimi manusia namun niat itu adalah rahsia antara dia dengan ALLAH.

“Kita hanya menyatakan hukum zahir bahawa mengundi adalah untuk melantik seseorang yang tugasnya adalah menegakkan kebajikan dan keadilan kepada rakyat,” ujar beliau.

Mohd Khairuddin turut berkata, sekiranya calon yang dipilih itu tersasar dan melakukan kezaliman, maka segala dosa ditanggung dirinya sendiri serta tiada kaitan dengan pengundi.

Hal itu kerana mereka pada awalnya tidak mengundi untuk wakil rakyat itu melakukan kezaliman dan kejahatan tetapi sekadar ingin menegakkan keadilan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

“Demikianlah, rakyat tidak wajar terpedaya dengan fatwa songsang ‘menerakakan’ seseorang pengundi yang memilih calon atau sesebuah parti berbeza dalam demokrasi pilihan raya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!