Reman pengasuh kes dera bayi hingga maut disambung
IPOH - Tempoh reman seorang pengasuh yang ditahan berhubung kes bayi perempuan berusia enam bulan dipercayai didera sehingga meninggal dunia, Jumaat lalu, disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, permohonan sambung reman terhadap wanita berusia 51 tahun itu dibuat selepas tempoh reman empat hari sebelum ini tamat pada Isnin.
Menurut beliau, pihaknya sedang melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Sambungan tahanan reman selama tujuh hari itu bermula dari Selasa sehingga Isnin depan," katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mangsa meninggal dunia selepas dua hari koma dipercayai didera oleh pengasuhnya dalam kejadian di Taman Tawas Indah di sini.
Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh suspek pada Rabu dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di badan.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.
Berdasarkan siasatan, suspek menjaga bayi terbabit sepenuh masa sejak 1 Mac lalu kerana kedua ibu bapa mangsa bekerja di Australia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!