Bekas eksekutif didenda RM100,000

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku salah dan didenda RM100,000 atas kesalahan mengemukakan invois palsu kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku salah dan didenda RM100,000 atas kesalahan mengemukakan invois palsu kira-kira dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Bekas eksekutif bahagian keselamatan dan kebakaran Petronas Chemicals MTBE didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi pembekalan peralatan keselamatan kebakaran bernilai RM41,760 kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hafez Manap, 38, yang menghadapi 10 pertuduhan pilihan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang diputuskan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, tertuduh didakwa secara curang menggunakan invois sebut harga atas nama sebuah syarikat yang diketahui sebagai palsu di Petronas Chemicals MTBE, Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada 11 Mac 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, sembilan lagi pertuduhan pilihan di bawah seksyen sama dikemukakan pihak pendakwaan yang diakui tertuduh telah dipertimbang dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Bagi sembilan tuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di lokasi sama antara 26 Januari hingga 21 September 2021 membabitkan nilai invois keseluruhan RM278,383.

Sebelum itu, peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menetapkan denda RM80,000 mengikut kemampuan anak guamnya.

Menurutnya, pengakuan bersalah tertuduh membuktikan anak guamnya telah mengakui dan insaf atas kesalahan dilakukan.

"Pada masa sama, pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan kos dan masa semua pihak termasuk mahkamah.

"Selain itu, mahkamah juga perlu pertimbangan kesalahan itu adalah yang pertama selain keadaan ekonomi tertuduh yang terjejas selepas dibuang kerja," ujarnya.

Bagaimanapun, Mohamad Fadhly memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 terhadap tertuduh memandangkan kerugian besar RM320,143 yang ditanggung syarikat.

"Selain mengambil kira kepentingan awam, denda yang lebih tinggi satu pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!