Tonik berharga buat Perak FC
PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah puas apabila pasukan The Bos Gaurus berjaya kembali meraih kemenangan selepas tujuh perlawanan menewaskan Kuching City FC 2-1, pada Ahad.
Menurutnya, kemenangan itu menjadi tonik berharga kepada Perak dalam usaha memberikan saingan dalam pusingan kedua Liga Super ini.
"Syukur Alhamdulillah kepada ALLAH kerana memberikan kemenangan pertama d ibawah kendalian saya dan ia berlaku di gelanggang lawan.
"Terima kasih kepada pemain yang memberikan sepenuh tumpuan dan fokus kerana kita bimbang di akhir permainan, Kuching sentiasa boleh menjaringkan gol seperti yang dilakukan mereka dalam dua perlawanan terakhir. Kami berjaya mengekang mereka dengan cukup baik.
"Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua pemain dan kemenangan ini memberi tonik terbaik kepada pasukan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri itu, Perak membuka jaringan menerusi Luciano Guaycochea pada minit ke-13 sebelum Abu Kamara menyamakan kedudukan pada minit ke-32.
Import Korea Selatan, Seo Seong-ung menjadi wira buat skuad kendalian Yusri dengan gol kemenangan pada minit ke-80.
Dalam pada itu, Yusri yang sebelum ini bertindak selaku pengendali interim sebelum dilantik sebagai pengendali tetap menyatakan keyakinan untuk melihat skuad kendaliannya lebih menyinar sekali gus memperbaiki kedudukan dalam liga.
"Selepas dua minggu interim, saya ingat ia akan berakhir dengan interim sahaja. Tetapi, selepas diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sehingga akhir musim, ia merupakan satu peranan yang sangat besar.
"Saya akan mengambil tanggungjawab yang cukup berat ini dan cuba memberikan keyakinan yang lebih baik kepada pemain. Kami harus faham tidak boleh kehilangan mata lagi," katanya.
Perak ketika ini berada di kedudukan ke-11 liga dengan 13 mata hasil tiga kemenangan dan empat seri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!