Polis Sabah rancang naik taraf IPD Labuan

Jauteh (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Ahmad (kiri) kepada Mohd Hamizi (kanan) di Dewan Bancolasi IPD Labuan.
Jauteh (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Ahmad (kiri) kepada Mohd Hamizi (kanan) di Dewan Bancolasi IPD Labuan.
A
A
A

LABUAN - Polis Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan bekerjasama merancang menaik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan yang bakal melibatkan peruntukan sehingga RM9 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil perbincangan dan kajian yang dibuat oleh IPD Labuan mendapati kemudahan berusia lebih 30 tahun

itu perlu diperbaiki.

"Ada yang sudah kurang sesuai dan perkara ini memang dalam proses tindakan kerajaan sekarang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Labuan antara Asisten Komisioner Ahmad Jawila kepada Superintenden Mohd Hamizi Halim. di Dewan Bancolasi IPD Labuan pada Isnin.

Beliau dalam pada itu memaklumkan jumlah peruntukan yang diperlukan RM9 juta itu merangkumi semua balai yang ada di Labuan.

Menurutnya, ada beberapa balai sudah berusia sejak awal merdeka dan sudah tentu keselesaan kepada pengguna adalah kurang baik.

"Jadi kita mahu pastikan bukan saja dari segi keselesaan kepada penghuni tetapi juga pelanggan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Untuk IPD Labuan, Insya-ALLAH kita akan masukkan dalam rancangan pembangunan," katanya.

Ahmad yang menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Labuan selama dua tahun tiga bulan sejak 12 April 2021 akan bertukar ke jawatan Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!