3 beranak dikejarkan ke hospital selepas makan cendawan beracun

Masieta berkongsi pengalaman di akaun TikToknya agar dapat dijadikan iktibar. Tiga beranak dikejarkan ke hospital selepas sejam makan cendawan beracun yang disangka cendawan busut dalam kejadian di Sungkai, minggu lalu. - Foto: Ihsan pembaca
Masieta berkongsi pengalaman di akaun TikToknya agar dapat dijadikan iktibar. Tiga beranak dikejarkan ke hospital selepas sejam makan cendawan beracun yang disangka cendawan busut dalam kejadian di Sungkai, minggu lalu. - Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

TANJUNG MALIM - Tiga beranak dikejarkan ke Hospital Slim River selepas sejam menikmati hidangan cendawan beracun dalam kejadian di Taman Desa Idaman, Sungkai dekat sini pada Rabu lalu.

Menurut Masieta Saarani, 39, dia menyangkakan cendawan yang dikutip suaminya, Zulkifli Sabli, 42, berhampiran rumah mereka itu adalah cendawan busut.

"Cendawan busut ini memang kegemaran, tambahan sudah lama tidak makan. Saya tidak terfikir ia tumbuhan beracun kerana bentuknya sama cuma ia lebih gebu.

"Saya masak seperti biasa untuk hidangan makan tengah hari walaupun pada awalnya sedikit ragu-ragu. Tidak terfikir untuk 'google' tetapi itulah, semua sudah terjadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Ibu kepada enam anak itu berkata, suami dan anak lelakinya berusia enam tahun mula menunjukan tanda seperti pening, loya, muntah dan cirit birit selepas menikmati hidangan terbabit.

"Suami minta saya buang cendawan itu kerana bimbang anak-anak lain termakan selepas balik sekolah. Dia paling banyak makan mula berasa lemah hingga tidak boleh memandu kereta.

"Saya terus hubungi 999 untuk dapatkan bantuan dan kami bertiga dikejarkan ke hospital. Saya dan anak dibenarkan keluar pada hari sama manakala suami pada keesokan harinya," katanya.

Info cendawan beracun dari FB Public Health Malaysia.
Info cendawan beracun dari FB Public Health Malaysia.

Masieta yang juga usahawan seni dan tanjak berkata, kejadian itu tidak menjadi penghalang untuk mereka menyertai majlis pra pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di NU Sentral, Kuala Lumpur yang berakhir pada Ahad.

"Selepas menerima rawatan, kami bertiga telah pulih sepenuhnya dan kejadian itu memberi kesan hinggakan anak-anak takut makan cendawan.

"Saya membuat video di TikTok agar pengalaman kami ini dapat dijadikan iktibar kerana tidak semua kenal akan jenis-jenis cendawan liar ini," katanya.

Sementara itu, Public Health Malaysia menerusi akaun Facebooknya memaklumkan kejadian keracunan yang sering berlaku adalah jenis 'chlorophyllum molybdites' kerana sama seperti cendawan busut.

"Toksin atau racun daripada cendawan liar apabila dimakan boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit birit selain celaru fikiran, halusinasi, gangguan kordinasi otot serta sawan.

"Sebahagian toksin mempunyai kesan jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang dan kesan toksin cendawan yang teruk boleh menyebabkan kematian," katanya.

Pihaknya memberi peringatan agar berhati-hati memetik cendawan yang tidak diketahui tumbuh di sekitar rumah atau mengambil pendekatan selamat dengan membeli daripada pembekal komersil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!