Swatch Malaysia saman kerajaan libat rampasan jam 'pelangi'

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR – The Swatch Group (M) Sdn Bhd mengambil tindakan saman terhadap kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Jun lalu, berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 172 jam tangan jenama itu pada Mei lalu.

Swatch Malaysia selaku pemohon, memfailkan saman melalui Tetuan Nizam Bashir & Associates dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), setiausaha bahagian penguatkuasaan kementerian, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan masing-masing responden pertama hingga keempat.

Sebelum ini, penguat kuasa KDN dilaporkan menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi, yang sering dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menerusi dokumen yang diperoleh, syarikat itu memohon perintah daripada mahkamah untuk membatalkan notis rampasan dan perintah agar responden memulangkan jam tangan termasuk ganti rugi.

Swatch Malaysia mendakwa, selama beberapa tahun, syarikat itu telah menjual jam tangan yang diilhamkan oleh warna pelangi untuk meraikan 'pride'.

Katanya, ia merujuk kepada pergerakan hak asasi manusia antarabangsa yang diadakan pada Jun untuk mempromosikan kesaksamaan dan penghormatan.

"Rampasan itu tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

"Kita juga telah memohon supaya semua jam itu dipulangkan pada Jun lalu namun KDN tidak berbuat demikian," kata syarikat itu menerusi dokumen tersebut.

Sebelum ini, serbuan telah dibuat pada 13 dan 14 Mei membabitkan butik Swatch di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima butik lain turut diberi amaran iaitu membabitkan premis di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Permohonan berkenaan akan didengar oleh Hakim, Datuk Amarjeet Singh pada Khamis ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!