BN Kedah sedia terima calon MB diputuskan pimpinan tertinggi
ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah bersedia menerima sesiapa sahaja yang diputuskan kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan calon Menteri Besar Kedah sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan dan pihaknya tiada halangan untuk menerima calon Menteri Besar daripada PH sekiranya itu adalah pendirian Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, kepimpinan parti di peringkat negeri sekadar boleh memberikan cadangan calon Menteri Besar kepada UMNO pusat untuk dirundingkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan soal Menteri Besar, sekiranya BN-PH jadi kerajaan di Kedah, sebab itu keputusan pucuk pimpinan.
“Biarpun UMNO negeri boleh berikan cadangan calon Menteri Besar tetapi keputusan muktamad diputuskan oleh pimpinan tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Kedah, sama ada dari BN atau PH sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam PRN nanti.
Ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, beliau tegaskan, apa yang lebih penting ketika ini adalah keserasian antara gabungan tersebut.
Mengulas mengenai ura-ura Kedah akan ditadbir oleh Menteri Besar dari BN sekiranya dapat menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mahdzir optimis dan berharap ia menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah, kalau (dakwaan itu) betul. Namun kita harus serah kepada pucuk pimpinan untuk putuskan,” jelasnya.
Mahdzir bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada BN akan mengitar semula calon Menteri Besar seperti yang berlaku pada era pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilantik menerajui Kedah sebanyak dua kali.
Ditanya sama ada calon Menteri Besar hendaklah daripada parti yang memenangi paling banyak kerusi di sesebuah negeri, Mahdzir tegaskan, ia bukan syarat wajib dalam pemilihan Menteri Besar.
“Terserahlah kepada pucuk pimpinan, ada negeri yang tak sampai (menang lebih banyak kerusi) pun jadi juga Menteri Besar,” katanya.
Mahdzir turut menolak andaian bahawa UMNO pusat akan memuktamadkan calon PRN dalam mesyuarat parti pada malam ini (Ahad), seterusnya memanggil kesemua calon terlibat berkumpul di ibu pejabat pada Isnin.
“Saya masih ada di sini, kalau tidak sudah tentu Presiden panggil saya ke ibu pejabat UMNO. Sehingga kini, belum ada keputusan lagi,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!