Hujan lebat, rakyat Malaysia di Korea Selatan diminta waspada
KUALA LUMPUR - Kedutaan Malaysia di Seoul mengingatkan rakyat Malaysia di Korea Selatan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan Pentadbiran Meteorologi Korea mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh negara yang menyaksikan banjir buruk sejak beberapa hari lalu.
"Seperti yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Meteorologi Korea dan berdasarkan ramalan cuaca, hujan lebat disertai petir dan kilat berkemungkinan berlaku sehingga menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah, sungai dan takungan serta menjejaskan laluan pejalan kaki dan jalan bawah tanah di sepanjang sungai.
"Kami ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak kawasan tersebut.
"Di samping itu, sila berhati-hati apabila melalui tapak pembinaan, cerun, dinding penahan dan sebagainya,” ciap kedutaan menerusi akaun Twitter miliknya, @MYEmbSeoul pada Isnin.
Sekiranya berlaku kecemasan, Kedutaan Malaysia boleh dihubungi melalui nombor telefon, +8210 8974 8699 atau e-mel, mwseoul@kln.gov.my.
Terdahulu, Agensi Berita Yonhap melaporkan empat lagi mayat ditemukan dari laluan bawah tanah yang ditenggelami air di tengah Korea Selatan, menjadikan jumlah individu yang maut atau hilang berikutan hujan lebat baru-baru ini kepada 49 orang.
Di seluruh negara, 10,570 orang dipindahkan dari rumah mereka yang rosak akibat hujan, Yonhap memetik Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!