'Kesan' MIC, MCA tidak bertanding dilihat selepas PRN
JOHOR BAHRU - Masih terlalu awal untuk meramalkan keputusan MIC dan MCA tidak bertanding pada pilihan raya di enam negeri akan memberi kesan terhadap survival BN.
Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar berkata, semuanya bergantung keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.
"Mungkin ada atau mungkin juga tidak, namun ia hanya boleh dapat dilihat selepas keputusan PRN di enam negeri diperoleh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persada Johor dan United Global Compact Malaysia & Brunei di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini pada Isnin.
Raven mengulas laporan berkenaan masa depan BN selepas dua parti tersebut tidak menyertai PRN di enam negeri terbabit yang dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos dengan penamaan calon dibuat lebih awal pada 29 Julai ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan tidak bertanding memberi ruang kepada MIC memperkuat sokongan parti itu terlebih dahulu.
Katanya, tidak timbul isu MIC sukar untuk menang sekiranya bertanding dalam PRN tersebut dan itu bukan punca, sebaliknya mahu kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan diperkukuh.
"Walaupun MIC tidak bertanding pada PRN, kita tetap akan turun membantu kempen bagi memenangkan parti bersama gabungan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Raven berkata, MIC yang mendukung kerjasama tersebut akan tetap mengikut keputusan dasar yang dibuat BN demi kesejahteraan dan kestabilan selain fokus utama adalah memberi tumpuan
Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Dalam pada itu, Raven turut menyangkal dakwaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal membawa kepentingan MCA dan MIC dalam rundingan bersama PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!