Wanita rugi RM672,491 terpedaya pelaburan saham di Facebook

Mangsa ditawarkan pelaburan di dalam bursa saham oleh seorang suspek wanita warga tempatan. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Kamarul Zaman
Mangsa ditawarkan pelaburan di dalam bursa saham oleh seorang suspek wanita warga tempatan. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM672,491 setelah terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang diiklankan melalui Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa berusia 42 tahun itu telah ditawarkan pelaburan di dalam bursa saham oleh seorang suspek wanita warga tempatan.

"Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta dijanjikan akan memperoleh pulangan sebanyak RM28,000 setiap bulan.

"Di antara 30 Mei hingga 11 Julai lalu, mangsa telah membuat 14 transaksi pemindahan wang ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM672,491," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat mangsa di Balai Polis Kempas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika berurusan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Semak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank yang digunakan melalui aplikasi 'semak mule' yang disediakan secara atas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!