Jokowi umum rombakan Kabinet libat Menteri Komunikasi
JAKARTA - Presiden Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, pada Isnin mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan seorang menteri dan lima timbalan menteri.
Jokowi melantik Budi Arie Setiadi sebagai Menteri Komunikasi dan Informasi yang baharu, manakala bekas kakitangan khas di Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Nezar Patria sebagai timbalannya.
Budi, sebelum ini dilantik Timbalan Menteri Desa, Daerah, dan Transmigrasi, menggantikan Johnny G. Plate yang dituduh melakukan rasuah membabitkan pembinaan menara komunikasi.
Ahli akademik Paiman Raharjo dilantik menggantikan Budi, manakala Pahala Nugraha Mansury ditugaskan semula ke Kementerian Luar Negeri sebagai Timbalan Menteri.
Usahawan dan bekas duta besar ke Amerika Syarikat, Rosan Perkasa Roeslani dilantik sebagai Timbalan Menteri BUMN menggantikan Pahala.
Aktivis dan ahli politik Saiful Rahmat pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Agama, menggantikan Zainut Tauhid Sa’adi.
Kesemua menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Jokowi di Istana Merdeka, di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!