Kemuka tuntutan palsu, lima pegawai ditahan SPRM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lima pegawai di sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM61,000.

Kesemua individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan sekitar jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari Isnin ketika diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah.

Sumber berkata, kesemua mereka dipercayai membuat tuntutan mengenai perpindahan yang melibatkan beberapa daerah di negeri ini.

Mereka dipercayai mengemukakan penyata resit syarikat pengangkutan bagi tujuan pembayaran penghantaran barangan rumah dan kenderaan sedangkan perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat.

"Kesemua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Katanya lagi, kelima-lima suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu pada Selasa.

"Susulan daripada siasatan kes ini, pihak SPRM Sabah telah memberikan khidmat nasihat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dengan mencadangkan beberapa penambahbaikan pekeliling perkhidmatan sistem dan prosedur berhubung tuntutan perpindahan di jabatan itu.

"Kerajaan negeri Sabah juga telah menyambut baik khidmat nasihat dan kini dalam proses penambahbaikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!