Pamer sijil kelayakan mekanik, lindung pengguna - Pakar

Pengusaha bengkel perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Hezeri
Pengusaha bengkel perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Hezeri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Langkah mempamerkan sijil kelayakan pekerja mekanik di premis masing-masing bakal melindungi pengguna supaya mereka mengetahui tahap kepakaran yang ditawarkan individu membaiki kenderaan.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, langkah itu secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna untuk memilih tahap bengkel yang akan menyelenggara kenderaan mereka.

Menurutnya, paparan berkenaan juga secara tidak langsung akan meningkatkan tahap kualiti bengkel yang menggajikan mekanik dengan kelulusan institusi pengajian.

“Apabila premis berkenaan (bengkel) mula mempamerkan kelayakan mekanik, ia merupakan satu usaha baik agar dapat melindungi pengguna dan secara tidak langsung bengkel boleh menyelaraskan upah berdasarkan kelayakan pekerja.

“Kita bukan mahu menghalang individu yang tidak mempunyai kelulusan tetapi mempunyai kemahiran membaiki kereta daripada membuka bengkel, tetapi keadaan itu akan menimbulkan kesukaran untuk menilai kualiti kerja,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, pengusaha bengkel perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ia bertujuan untuk membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

Hezeri berkata, perkara utama yang hendak diperjuangkan ialah melindungi hak pengguna dan bayaran harga upah perkhidmatan membaiki kereta dengan penyelarasan kualiti.

Beliau berkata, jika seseorang individu yang menyukai bidang membaiki kenderaan tetapi tidak mempunyai kemahiran yang diiktiraf, mereka digalakkan untuk mengambil kursus supaya penyelarasan kualiti boleh dibuat.

Tambahnya, mekanik keluaran institusi pengajian mempunyai tahap pengetahuan asas yang baik dalam membuka bengkel.

“Minyak hitam merupakan satu bahan sisa tercemar yang mempunyai kawalan dan tidak boleh dibuang merata-rata seperti dalam longkang. Apabila ia dibuang di dalam longkang, ia akan mengalir ke sungai dan terus ke punca air paip kita.

“Oleh sebab itu, kita tidak boleh buka bengkel di tepi rumah orang atau bawah pokok. Kita memang perlu kawal bengkel-bengkel segera ini,” ujarnya.

Menurutnya, pekerja bengkel perlu dianggap sebagai satu pekerjaan professional yang mana ia memerlukan kawalan dan kelayakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!