Q'Fish mampu tampung kekurangan bekalan ikan
KUALA KEDAH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan penyediaan stok simpanan ikan sejuk beku menerusi kaedah Q’Fish dapat membantu masalah kekurangan bekalan ikan di negeri-negeri yang terjejas akibat cuaca buruk.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Q’Fish adalah teknologi pembekuan pantas individu (IQF) yang digunakan agar bekalan ikan dapat disimpan dalam tempoh lama dan menampung permintaan sehingga tempoh dua bulan.
Menurutnya, LKIM sentiasa komited untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi sekali gus menjamin sekuriti makanan di seluruh negara.
"Kapasiti bilik beku kita berjumlah 90 tan di seluruh negara. Selain itu kita juga bekerjasama dengan pihak swasta, rakan dagang dan membabitkan keseluruhan kapasiti simpanan 1,700 tan.
"Kita memang sentiasa cuba untuk memenuhkan setiap bilik beku kita dengan ikan-ikan Q’Fish. Cuma kita nak didik pengguna untuk memahami bahawa Q’Fish ini ikan yang baik, segar dan boleh dibeli serta dimakan," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas Program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan di Kuala Kedah, dekat sini.
Jelas Faiz, ketika ini bekalan ikan mencukupi di pusat pengumpulan stok simpanan ikan di negara ini.
Tambahnya, usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah untuk membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup ketika ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembaikan jeti, pembinaan tandas awam dan infrastruktur lain melibatkan komuniti nelayan.
Menurutnya, antara fokus LKIM juga kini adalah menaik taraf semua jeti kecil nelayan untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi nelayan bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!