Speaker Parlimen, MP Singapura letak jawatan kerana 'hubungan sulit'
SINGAPURA – Hubungan sulit yang terjalin antara Speaker Parlimen, Tan Chuan-Jin bersama ahli Parlimen (MP) Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tampines, Cheng Li Hui dilaporkan menjadi punca utama kedua-duanya meletak jawatan pada Isnin.
Skandal menggemparkan politik negara itu didedahkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang pernah menasihati mereka pada Februari lalu.
Menurut Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura, hubungan mereka diketahui tidak lama selepas Pilihan Raya Umum 2020 berlangsung.
"Tetapi, saya tidak tahu bila ia bermula. Saya turut menerima maklumat bahawa hubungan terlarang itu tetap diteruskan. Adalah sangat tidak wajar seorang Speaker mempunyai hubungan dengan salah seorang MP.
"Ia sememangnya tidak boleh diterima dan mereka perlu berundur," kata Hsien Loong ketika sidang media di istana pada Isnin selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan mengejut Chuan-Jin dan Li Hui sebagai anggota PAP.
Pada Februari lalu, Chuan-Jin pernah mengakui kesilapannya kepada Hsien Loong dan menawarkan untuk melepaskan jawatannya.
Namun, pemimpin itu berpendapat Chuan-Jin perlu memastikan kebajikan penduduk di kawasan Kembangan-Chai Chee dan GRC Marine Parade terus terjaga serta beliau perlu memutuskan hubungan dengan Li Hui.
Difahamkan, Chuan-Jin, 54, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak manakala Li Hui, 47, berstatus bujang.
Sebelum pendedahan itu dibuat, Hsien Loong menyatakan pengunduran mereka adalah perlu untuk mengekalkan standard kewajaran dan kelakuan peribadi yang tinggi seperti dipertahankan PAP selama ini.
Pada mulanya, keputusan nekad dibuat Chuan-Jin itu juga didakwa ada kaitan dengan kritikan banyak pihak yang menjejaskan imejnya selepas klip 'terkantoi' menggunakan bahasa kesat ketika anggota parti pembangkang, Parti Pekerja (WP), Jamus Lim bercakap tentang isu kemiskinan di Singapura pada April lalu menjadi tular baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hsien Loong memaklumkan beliau akan mencalonkan Speaker baharu menjelang sidang Parlimen seterusnya pada 1 Ogos depan.
Sepanjang tempoh dua minggu akan datang, Timbalan Speaker, Jessica Tan akan menjadi pemangku Speaker. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!