Cadangan penyelesaian untuk kukuhkan RM
KUALA LUMPUR- Pakar ekonomi mencadangkan beberapa penyelesaian kepada kerajaan untuk menstabilkan harga ringgit dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Datuk Dr Barjoyai Bardai menyambut baik usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi mengurangkan pengaliran ke luar RM60 bilion setiap tahun.
“Setiap tahun pekerja asing yang berada di Malaysia menghantar pulang RM60 bilion matawang kita balik ke negara mereka, ini satu bebanan kepada sistem kewangan kita, mereka akan tukarkan kepada matawang Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan sebagainya.
“Situasi ini (tukar RM kepada matawang asing) membuatkan RM mendapat tekanan sehingga merendahkan nilainya, jika nanti kita gunakan pekerja tempatan, kita boleh jimat RM60 bilion sekali gus mengawal aliran ringgit,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, Barjoyai berkata,alternatif lain ialah kerajaan harus cuba mengurangkan import, misalnya beras, Malaysia ada ‘two rice bowl’ untuk keperluan 33 juta penduduk tetapi masih mengimport 50 peratus keperluan beras dari negara luar.
“Hal ini kerana, hasil tanaman padi kita sangat rendah cuma 3.5 tan pada untuk satu hektar, berbeza dengan sistem tanaman yang digunakan di Indonesia iaitu Sistem Kepadatan Padi (SRI) mampu menghasilkan 15 tan padi untuk sehektar sawah, dan kini Indonesia sudah jadi pengeksport.
“Sistem tanaman SRI ini dah lama wujud dan dicuba di Malaysia tetapi tidak dilaksanakan sebab ia memerlukan tenaga buruh yang ramai. Tapi kita perlu ingat, ada dua juta pelarian Rohingya berada di negara kita yang sedia untuk bekerja tapi kita tak benarkan kerja di sawah padi kita, jika dibenarkan mungkin Malaysia mampu menghasilkan padi sebanyak Indonesia,” ujarnya.
Katanya, sekiranya kita berjaya mengurangkan import, RM akan kembali kukuh.
Bagaimanapun, Barjoyai mengakui sukar untuk RM bersaing dengan matawang Thailand (Baht) ini kerana nilai Baht sangat kukuh berbanding AS$ kerana Thailand negara pengeksport besar kepada Amerika Syarikat dalam sektor pelancongan dan pertanian.
Tambahnya, Malaysia juga berdepan tekanan apabila permintaan terhadap kelapa sawit menjadi lemah dan ia dijual dalam AS$.
“Kita tidak dapat AS$ yang cukup untuk tampung permintaan import menekan nilai matawang kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!