Alcaraz tak sangka rangkul kejuaraan Wimbledon
PEMAIN muda, Carlos Alcaraz berjaya melunaskan dendamnya ke atas seterunya, Novak Djokovic apabila meraih gelaran Wimbledon sulungnya dalam aksi final di London awal pagi Isnin.
Dalam pertembungan akhir yang penuh dramatik itu, pemenang ditentukan selepas beraksi selama lima jam yang menyaksikan Alcaraz menang dengan keputusan 1-6, 7-6 (6), 6-1, 3-6, 6-4.
Kemenangan tersebut amat menggembirakan pemain nombor satu dunia itu yang sebelum ini tewas kepada Djokovic di separuh akhir Terbuka Perancis, Jun lalu.
Alcaraz, 20, memberitahu, kemenangan itu bukan diraih dengan mudah dan permukaan gelanggang turut menjadi faktor yang memacu kejayaannya.
“Saya sudah mula suka dengan permukaan di sini. Ia sesuatu yang luar biasa.
“Saya tidak menjangkakan dapat sampai ke tahap ini (menang gelaran Wimbledon) dalam tempoh yang singkat. Ia umpama mimpi jadi kenyataan,” katanya.
Dalam pada itu, Djokovic yang memegang status sebagai pemain nombor dua dunia mengakui Alcaraz beraksi lebih baik daripadanya.
“Saya fikir akan menghadapi masalah dengannya di atas tanah liat dan mungkin gelanggang keras sahaja.
“Tetapi di atas rumput (Wimbledon) saya juga hadapi masalah, ia menjadi cerita yang berbeza,” ujar Djokovic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!