‘Orang ingat saya nak jadi artis’ - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam rancangan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi iaitu Innovathon bukanlah mahu menjadi artis sebaliknya mewujudkan platform untuk rakyat serlahkan bakat.

Beliau berkata, rancangan itu diwujudkan adalah untuk mengaruspedanakan budaya inovasi dalam kalangan rakyat.

“Apabila rancangan realiti televisyen, Innovathon dilancarkan, ramai orang ingat saya nak jadi artis. Itu bukan tujuan saya buat Innovathon.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, masalah yang sudah lama dialami di Malaysia adalah kita ada banyak bakat tapi tiada platform ataupun peluang untuk serlahkan bakat-bakat masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Pada 6 Julai, Sinar Harian melaporkan, ASTRO dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) melancarkan pertandingan realiti iaitu Innovathon yang bakal memulakan siaran pada 15 Julai.

Program yang memaparkan skil dan idea inovatif bagi mencari penyelesaian isu sosio ekonomi itu menyaksikan seramai 1,033 penyertaan dari seluruh negara merangkumi peserta termuda berusia 7 tahun sehingga paling tua, 73 tahun.

Pada masa sama, Rafizi memberitahu menerusi rancangan berkenaan, ia membawa firma pemodal teroka untuk melihat idea dan inovasi yang dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Katanya, inovasi dibawa oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada yang paling muda sehingga dewasa.

“Kalau ada idea boleh terus mendapat pelaburan yang penting produk itu ada kekuatan teknikal dan ada nilai pasaran,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!