Messi mahu menang, bantu Miami berkembang
BINTANG baharu Inter Miami, Lionel Messi berharap kehadirannya dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS), Amerika Syarikat dapat mencipta impak terhadap kelab dan liga tersebut.
Messi, mengetuai Argentina menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu,diperkenalkan kepada para penyokong Miami dalam acara dipanggil 'The Unveil'.
Pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu berkata, dia sangat gembira apabila dapat meneruskan karier bola sepaknya di Miami.
“Saya gembira kerana telah memilih untuk datang ke bandar ini bersama keluarga saya, untuk memilih projek ini dan saya tidak ragu-ragu bahawa kami akan sangat menikmatinya.
“Kami akan berseronok dan perkara hebat akan berlaku. Terima kasih banyak-banyak, terima kasih semua untuk hari ini.
“Saya tidak sabar untuk memulakan latihan untuk bersaing. Saya merasakan hasrat yang sama yang selalu saya hadapi untuk bersaing, benar-benar mahu menang dan membantunya (Miami) terus berkembang,” kata Messi.
Messi diperkenalkan dalam majlis yang turut disertai bersama pemilik Jorge Mas, Jose R Mas dan David Beckham di Stadium DRV PNK, Fort Lauderdale, Florida.
Kehadiran kapten Argentina itu juga adalah dorongan besar untuk profil bola sepak di Amerika Syarikat, yang akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!