Buka peluang francais Chicken Cottage
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri bersedia membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat menjadi francais rangkaian restoran makanan segera jenama antarabangsa milik kerajaan negeri, Chicken Cottage.
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Chicken Cottage di Malaysia sebelum ini tidak menggunakan model francais dan kerajaan kini lebih berminat menukar konsep itu sama seperti di luar negara.
"Di Malaysia ini, kita lebih berminat gunakan model dalam bentuk francais seperti mana kita gunakan di UK (United Kingdom) dan India yang dalam beberapa bulan akan dibuka.
ARTIKEL BERKAITAN: Chicken Cottage KT henti operasi: MB Terengganu
"Jadi kalau ada pihak yang berminat untuk buka cawangan francais, kita boleh bincang dan runding balik dengan Chicken Cottage," katanya selepas menyempurnakan Pengagihan Bubur Lambuk di Masjid Abidin di sini hari ini.
Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai hari ini dan tradisi itu akan berterusan sepanjang ramadan ini melibatkan peruntukan RM150,000 hasil sumbangan kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri (GLC).
Sebelum ini, rangkaian restoran makanan segera jenama antarabangsa milik kerajaan negeri, Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu akan menghentikan operasinya selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Keputusan itu dibuat setelah penilaian prestasi keseluruhan Chicken Cottage dalam dan luar negara, bagi mengurangkan kerugian.
Bagaimanapun, Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu tidak akan ditutup sepenuhnya, sebaliknya dijangka akan dibuka semula dalam tempoh dua tahun lagi di lokasi yang lebih sesuai.
Dr Ahmad Samsuri berkata, penutupan Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam itu merupakan proses rasionalisasi untuk mengelak kerugian berterusan selain mencari strategi terbaik bagi memberi nafas baharu kepada restoran makanan segera itu.
"Bagaimanapun Chicken Cottage di TTDI (Taman Tun Dr Ismail) akan dikekalkan buat sementara waktu hingga kita buat pertimbangan baharu.
"Ia agak kompleks sebenarnya kerana melibatkan hutang-hutang lampau yang banyak akibat 'capital investment' sangat besar pada peringkat awal dulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!