Gabungan lapan parti Thailand kembali sokong Pita

Pita Limjaroenrat
Pita Limjaroenrat
A
A
A

BANGKOK - Calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat telah mendapat sokongan daripada gabungan lapan parti untuk dicalonkan semula pada pusingan kedua pengundian pada Rabu.

Bagaimanapun, ini boleh menjadi percubaan terakhirnya untuk memenangi jawatan tertinggi kerana Pita sebelum ini mengumumkan bahawa beliau akan memberi laluan kepada parti kedua terbesar dalam gabungan (Pheu Thai Party) jika gagal memperoleh sokongan yang diperlukan buat kali kedua.

Hari ini, gabungan lapan parti diketuai Parti Move Forward (MFP) Pita mengesahkan sokongannya kepada beliau walaupun beliau gagal mendapat sokongan lebih separuh daripada 749 anggota Parlimen dalam percubaan pertamanya Khamis lalu.

Walaupun menjadi calon perdana menteri tunggal, Pita hanya memperoleh 324 undi, manakala 182 undi menentangnya dan 199 berkecuali.

Bagaimanapun, gabungan itu masih memerlukan 63 undi kerana 249 senator yang dilantik oleh junta mungkin menjadi batu penghalang dalam usaha Pita untuk menjadi perdana menteri.

Pheu Thai memenangi 141 kerusi dalam pilihan raya itu. Calon perdana menterinya termasuk Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra dan taikun hartanah, Srettha Thavisin.

Sementara itu, Pita berkata, rancangan untuk memfailkan usul meminda Perkara 272 bagi menyekat kuasa 250 Senat yang dilantik hanyalah dikemukakan oleh MFP, manakala tujuh lagi parti gabungan itu tiada kaitan dengan cadangan pindaan itu.

Jika diluluskan, pindaan itu akan menghapuskan kuasa senator untuk bersama-sama mengundi dengan ahli Parlimen yang dipilih untuk pengundian jawatan perdana menteri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!