Adam mahu bersekolah
MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sedih apabila nasibnya tidak seperti rakan-rakan lain kerana tidak pernah bersekolah.
Ibu saudaranya, Nor Shahilah Iskandar, 39, berkata, sebelum ini Nur Muhammad Adam Hussin tinggal bersama ibu bapanya di Melaka sebelum ibunya yang merupakan warganegara Indonesia dikenali sebagai Yusmah telah menghilangkan diri.
Menurutnya, wanita yang berasal dari Medan, Indonesia itu dipercayai telah dihantar pulang ke negara asalnya kerana masalah dokumentasi dan gagal dihubungi sehingga kini.
Dia berkata, kanak-kanak yang mesra dipanggil Adam itu kemudian dijaga oleh bapanya yang bekerja sendiri sebelum diserahkan sementara kepada seorang lagi ibu saudaranya di Kuala Lumpur.
Katanya, kerana kasihan melihat Adam yang terpaksa berpindah-randah, dia yang juga seorang guru mengambil tanggungjawab untuk menjaganya sejak tahun ini.
"Saya telah berbincang dengan ibu saya dan demi mahu melihat kehidupannya lebih baik kami sepakat untuk menggalas tanggungjawab ini.
"Kasihan, setiap hari dia sering bertanya bila dia boleh bersekolah seperti kawan-kawan yang lain. Jadi saya harap urusan persekolahannya tidak lama lagi dipermudahkan," katanya ketika ditemui di Bukit Rambai pada Isnin.
Jelasnya, Nur Muhammad Adam selama ini tidak bersekolah kerana ketiadaan sijil kelahiran dan baharu memperoleh dokumen tersebut pada Mac lalu.
Dalam pada itu, Nor Shahilah berkata, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkannya melakukan proses pengambilan anak angkat selepas kanak-kanak itu diserahkan oleh bapanya, Hussin Wahid, 61, kepadanya untuk dijadikan sebagai anak angkat.
Justeru, dia berharap sekiranya ada individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kanak-kanak ini dapat tampil bagi membolehkannya melengkapkan proses pengambilan anak angkat dengan menghubunginya di talian 012-344493.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!