Kuliah umum Rasuah Sebagai Masalah Budaya, Sabtu ini
SHAH ALAM - Agora Society Malaysia menerusi Generasi Bebas Rasuah akan menganjurkan siri ketiga kuliah umum bertajuk Rasuah Sebagai Masalah Budaya di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Sabtu ini.
Program yang turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH, Rasuah Busters dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) itu terbahagi kepada empat topik dijangka bermula jam 2 hingga 5 petang.
Koordinator program, Chan Yit Fei berkata, program itu akan menampilkan empat tetamu iaitu Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff; Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian, Exco Transparency International Malaysia (TI-M), Alan Kirupakaran, dan Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman, manakala Wathslah Naidu bertindak sebagai moderator.
Ujarnya, tujuan utama program berkenaan adalah memberi kesedaran dan galakan kepada masyarakat mengambil bahagian untuk mengekang budaya rasuah yang semakin membimbangkan ketika ini.
"Adakah orang ramai mendapat maklumat yang mencukupi dan betul tentang rasuah serta sejauh manakah maklumat yang diberikan oleh media dan organisasi penyelidikan memberi kuasa kepada orang ramai untuk mengambil tindakan dan menuntut kerajaan membersihkan tindakannya?
"Topik-topik ini akan dibincangkan dan diperhalusi, kita mahu rakyat tahu tentang semua ini sekali gus memberi kesedaran terhadap semua untuk mengekang budaya rasuah," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, dengan timbul kesedaran orang ramai terhadap bahana rasuah, amalan jijik berkenaan dapat dihapuskan sekali gus akan membawa kebaikan kepada negara.
"Memahami mengenai rasuah adalah penting kerana setiap orang mempunyai hak untuk mengetahui kesan sebenar rasuah dan implikasi buruk kepada negara.
"Kita juga mahu menggalakkan penyertaan aktif dalam perbincangan tentang rasuah dan akhirnya memupuk komuniti yang berpengetahuan serta menyokong usaha pencegahan rasuah," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!