Bimbang laluan utama makin terhakis
BATU PAHAT - Penduduk di Jalan Muhibbah 5 Kampung Sungai Ayam, di sini, meminta pihak bertanggungjawab membaiki segera laluan utama menghubungkan kampung mereka yang terjejas akibat hakisan dan tanah runtuh.
Penduduk, Salim Atan, 64, berkata, disebabkan masalah itu penduduk terpaksa meletakkan penghadang jalan sementara bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Jalan ini rosak sejak September tahun lalu sewaktu kawasan ini dilanda banjir kilat dan disebabkan keadaan pembetung (culvert) dan parit yang kecil, air yang datang dari Gunung Banang tidak dapat lalu dengan lancar di kawasan ini.
“Akibat arus deras tersebut menyebabkan tanah di bahu jalan ini terhakis yang menyebabkan tanah runtuh, sekali gus menghakis sebahagian besar jalan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Seorang lagi penduduk, Abdul Jalil Hassan, 64, berkata, sekiranya jalan itu terputus, mereka terpaksa menggunakan laluan kebun dengan jarak yang lebih jauh dan tidak selesa.
“Ada sebahagian hakisan itu mencecah kedalaman sehingga hampir 10 meter dan paling kami bimbang akan berlaku kemalangan terutama kepada mereka yang melalui jalan ini pada waktu malam.
“Kami faham bukan mudah untuk dapat sesuatu peruntukan, namun kami berharap kerajaan dapat baiki segera jalan ini,” katanya.
Abdul Jalil berkata, sebelum ini ada penduduk kampung yang membuat majlis perkahwinan anaknya telah menambak jalan tersebut menggunakan tanah, namun ia tidak bertahan lama terutamanya ketika keadaan cuaca tidak menentu.
Katanya, dia berharap jalan tersebut dapat dibaiki segera kerana ia digunakan setiap hari lebih 100 penduduk di kawasan ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas berkata, beliau akan meminta ADUN Senggarang, Ir Khairuddin Abdul Rahim untuk memohon peruntukan melalui Pejabat Menteri Besar Johor untuk kerja-kerja membaiki jalan berkenaan.
“Jalan tersebut memerlukan kos kira-kira RM200,000 untuk dibaiki dan selain kawasan ini, saya juga difahamkan terdapat satu lagi jalan yang rosak akibat masalah sama di kawasan itu dan perlu dibaiki segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!