Kembar seiras terima sumbangan daging, wang tunai
KUALA TERENGGANU - Sepasang kembar seiras menerima sumbangan daging dan wang tunai daripada McDonald's Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada Isnin.
Mohd Azli Deraman dan adik kembarnya, Mohd Azlan yang masing-masing berusia 40 tahun menyifatkan sumbangan diterima itu dapat meringankan beban kewangan mereka pada bulan ini.
Mohd Azli yang bekerja sebagai pemotong rumput di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersama kembarnya berkata, sumbangan daging yang diterima itu dapat dijadikan juadah untuk dinikmati bersama isteri, Nurul Hatimi Azmi, 35, bersama dua anaknya.
"Pendapatan saya hanya sekitar RM1,500 sebulan dan memang sekadar cukup-cukup makan sahaja. Alhamdulillah. Saya juga terima bantuan tahunan RM2,500 daripada Maidam. Cukuplah untuk tampung belanja sekolah anak-anak," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan Lembu oleh McDonald's Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu di sini pada Isnin.
Sementara itu, Mohd Azlan turut melahirkan rasa syukur kerana bantuan wang diterima, membolehkannya berjimat untuk membeli barangan keperluan harian memandangkan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
"Sumbangan seperti ini sangat kami hargai kerana tak rasa dipinggirkan oleh mana-mana pihak. Saya akan terus bekerja lebih kuat untuk sara keluarga," ujarnya.
Mohd Azli dan Mohd Azlan adalah antara 50 asnaf yang menerima sumbangan daging lembu daripada McDonald's Malaysia selain wang tunai dari Maidam di pekarangan Kompleks Seri Iman di sini.
Sementara itu, Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya memperoleh kutipan zakat sebanyak RM136.9 juta sehingga Sabtu lalu.
Menurutnya, sebanyak RM120.3 juta agihan zakat dilaksanakan dalam tempoh berkenaan menerusi skim-skim bantuan zakat yang disediakan seperti bantuan sara hidup, bina rumah, persekolahan, perubatan, perniagaan dan beberapa bantuan lain.
"Alhamdulillah. Agihan dilaksanakan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan asnaf di Terengganu," katanya.
Pada majlis itu, Ketua Operasi Bahagian Pantai Timur (Kelantan, Terengganu & Pahang) McDonald's Malaysia, Shadan Ismail menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM110,000 kepada Maidam.
McDonald's turut menyumbang lima lembu kepada asnaf zakat Terengganu iaitu dua ekor melalui Maidam, dua ekor untuk Penjara Marang dan seekor kepada Asrama Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!