Ambil tindakan serta-merta kepada pemimpin sentuh isu 3R - ABIM
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa tindakan serta-merta diambil terhadap pemimpin parti politik yang berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat khususnya menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R).
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan itu perlu dengan mengambil kira kesan terhadap manipulasi isu berkenaan sangat besar dan boleh mencetuskan keretakan dalam masyarakat.
"ABIM merujuk kepada kempen-kempen politik yang semakin hangat menjelang PRN di enam negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos nanti.
"Pihak kami berpendirian, mana-mana pemimpin politik harus menjaga adab, tatasusila, sensitiviti masyarakat serta bertanggungjawab mempertahan nilai perpaduan dan keharmonian negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sinar Harian pada 14 Julai melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis telah membuka kertas siasatan membabitkan Muhamad Sanusi pada 12 Julai.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal menjelaskan, sudah tiba masanya untuk ahli politik bersama jentera penggeraknya mendisiplinkan diri untuk fokus berkempen atas dasar serta perancangan yang bakal meningkatkan kualiti hidup rakyat kini dan generasi akan datang.
Ujarnya, dalam konteks sebagai seorang Muslim, Islam tidak boleh sama sekali digunakan untuk menjustifikasikan fitnah, politik kebencian dan pembunuhan atau perlecehan karakter.
“Merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 pada Disember lalu, tindakan tegas wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan.
“Ini kerana tindakan itu berupaya meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama dan perkauman.
“Mana-mana pemimpin parti politik perlu menjaga adab, tatasusila, sensitiviti masyarakat dan bertanggungjawab mempertahankan nilai perpaduan serta keharmonian negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!