Agong, Raja Permaisuri zahir takziah buat keluarga Hanafiah Nasir

Tangkap layar di Facebook Istana Negara pada Selasa
Tangkap layar di Facebook Istana Negara pada Selasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda sukan olahraga negara Hanapiah Nasir yang meninggal dunia Ahad lepas.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

"Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut hantaran itu.

Hanapiah, 65, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada jam 6 petang, Ahad lepas akibat leukemia dan kegagalan pelbagai organ.

Allahyarham semasa zaman kegemilangannya telah memecah rekod Sukan SEA pada tahun 1985 dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59 meter (m) dan 110m lari berpagar.

Selain itu, Allahyarham meraih empat pingat emas pada temasya Sukan SEA menerusi acara lompat jauh (1985), 110m lari berpagar (1985) dan dekatlon (1981 dan 1983).

Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga selepas bersara dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari tahun 2005 hingga 2009. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!