Kembali ke Eropah? Tak mungkin - Ronaldo
BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo memuji saingan liga di Arab saudi lebih baik berbanding Liga Bolasepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat (AS) ketika 'musuh ketatnya' Lionel Messi menandatangani kontrak bersama Inter Miami sehingga 2025 baru-baru ini.
Pemain veteran itu menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr awal tahun ini.
“Eropah sudah kehilangan banyak kualiti. Satu-satunya yang terbaik - Liga Perdana Inggeris, liga Sepanyol sudah hilang tarafnya. Portugal bukannya yang terbaik begitu juga Jerman sudah banyak menyusut dari segi kualiti.
“AS? Tidak, kejohanan liga Saudi lebih bagus berbanding AS,” katanya kepada akhbar Portugal, A Bola.
Ronaldo membuat komen itu selepas Al-Nassr kalah besar 0-5 dalam aksi persahabatan pramusim menentang kelab liga utama Sepanyol, Celta Vigo di Faro, Portugal.
Mengulas kemungkinan kapten Portugal itu pulang ke pangkuan kelab-kelab di Eropah, dia menolak kemungkinan tersebut.
“Kembali ke Eropah? Tidak mungkin, saya sudah berusia 38 tahun dan ia tidak berbaloi,” katanya.
Sejak ketibaan Ronaldo, Liga Pro Saudi menarik minat bintang antarabangsa termasuk pemain Perancis, Karim Benzema dan N'Golo Kante.
Turut berkenala ke Arab Saudi ialah Roberto Firmino (Brazil), Edouard Mendy (Senegal), Sergej Milinkovic-Savic (Serbia) dan Marcelo Brozovic (Croatia).
“Dalam tempoh setahun, lebih ramai pemain ternama akan datang ke Arab Saudi.
"Dalam setahun liga Saudi akan mengatasi liga Turkiye dan liga Belanda,” ujar Ronaldo.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!