Disangka anak patung rupanya janin bayi dalam loji kumbahan

Janin bayi ditemukan di dalam sangkar perangkap sampah loji kumbahan di sebuah kawasan perumahan di Inanam, Kota Kinabalu.
Janin bayi ditemukan di dalam sangkar perangkap sampah loji kumbahan di sebuah kawasan perumahan di Inanam, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang pekerja pembersih kumbahan terkejut melihat objek yang disangka anak patung rupanya janin bayi di loji kumbahan sebuah kawasan perumahan di Inanam pada Isnin.

Janin bayi itu ditemukan oleh pekerja terbabit kira-kira jam 9.30 pagi di dalam sangkar perangkap sampah ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, laporan mengenai penemuan janin itu dibuat menerusi panggilan telefon ke Balai Polis Inanam.

"Ketika kejadian, pekerja terbabit terus ke loji kumbahan untuk membuat kerja pembersihan sebelum terlihat satu objek yang pada awalnya disangka anak patung.

"Namun selepas sangkar itu dinaikkan, terdapat satu janin bayi di dalamnya. Pengadu kemudian mengangkat sangkar naik ke atas dan segera mengeluarkan janin berkenaan kerana bimbang ia dihanyutkan arus sebelum bertindak memaklumkan kepada penyelianya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaidi berkata, keadaan mayat masih bersama tali pusat dan lengkap anggota badan dengan ketinggian kira-kira 18 sentimeter namun doktor tidak dapat memastikan jantinanya namun berkemungkinan lelaki.

"Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hatikah Ahmad di talian 0168337243.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!