Remaja derita kanser otot, ingin ke stadium sokong JDT
PONTIAN - "Saya suka bola sepak, namun sudah lama tidak bermain kerana perlu jalani rawatan kanser di hospital.
"Semoga ada keajaiban berada di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk menyaksikan sendiri perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City pada Sabtu ini, " kata Muhammad Irfan.
Muhammad Irfan,13, dari Kampung Pulai Sebatang yang menghidap penyakit kanser otot sejak setahun lalu, kini bergantung dengan susu yang dimasukkan dengan tiub khas di hidung selepas tidak dapat menelan makanan.
Ibunya, Puteri Nur Fairuz Ab Rahim, 35, berkata, Irfan anak sulung daripada dua beradik disahkan menghidap penyakit itu selepas mengalami bengkak di rahang pipi kanan.
Ujarnya, hasil imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru terdapat tumor di bahagian rahang mulut Irfan yang merupakan kanser otot.
"Irfan sudah jalani 31 kali sesi rawatan kemoterapi menyebabkan rambutnya gugur, bahagian leher dan rahangnya kehitaman seperti terbakar. Berat badannya menyusut kini 25 kilogram (kg) sahaja.
"Sebagai ibu, saya sedih melihat keadaan Irfan. Namun saya perlu kuat bersama Irfan untuk mengharungi ujian ini," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Selasa.
Puteri Nur Fairuz berkata, kesihatan Irfan sentiasa menjadi keutamaan dia dan suami Mohd Faizal Omar, 37, yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu
“Irfan memerlukan empat tin susu formula khas yang berharga RM109 setin setiap bulan. Setiap tin hanya dapat bertahan selama 10 hari. Irfan perlu diberikan minum susu sebanyak lima kali dalam sehari.
“Irfan kini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Kanser Nasional (Makna). Baitumal juga ada memberikan bantuan ‘duit tambang’ ke hospital," katanya.
Jelasnya, Irfan merupakan peminat setia JDT dan tidak terlepas untuk menonton perlawanan bola sepak membabitkan JDT di televisyen.
"Irfan cukup bertuah kerana pemain bola sepak JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi datang rumah kami untuk bertemunya pada minggu lalu. Pertemuan diatur oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Kanser Pontian itu menceriakan Irfan.
"Irfan juga ada beritahu, dia mahu menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Tetapi perlu bergantung kepada keadaan kesihatan Irfan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!