Projek kecil dorong 60 peratus perbelanjaan Belanjawan 2023

Maslan
Maslan
A
A
A

PUTRAJAYA - Langkah kerajaan menyegerakan pelaksanaan projek kecil cakna rakyat dijangka akan mendorong pencapaian 60 peratus perbelanjaan Belanjawan 2023 pada Ogos ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengagihan peruntukan telah dibuat kepada kementerian dan agensi yang terlibat.

"Kita yakin ia akan tercapai sebab segala wang yang sepatutnya diturunkan mengikut tempoh itu telah pun diberikan kepada semua," katanya pada sidang akhbar Majlis Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Tahun 2022, di sini pada Selasa.

Menurutnya, perbelanjaan pembangunan (DE) perlu diperhalusi supaya prosesnya dipermudahkan dan dipercepat namun pada masa sama mematuhi tata kelola.

"Perbelanjaan operasi (EO) itu mudahlah kerana pembayaran gaji dan penyelenggaraan dibuat secara berskala pada setiap bulan," katanya.

Beliau berkata, kementerian mengambil beberapa langkah pemudahcara dan menyegerakan pelaksanaan terhadap projek cakna rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia meliputi penurunan kuasa, projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil di bawah RM1 juta boleh dilaksanakan tanpa merujuk kepada Jabatan Kerja Raya.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai ketidakpuasan hati Anwar yang juga Menteri Kewangan terhadap perbelanjaan Belanjawan 2023 yang hanya mencapai 49 peratus setakat Jun lalu.

Ia bersamaan RM188 bilion daripada jumlah keseluruhan RM386.14 bilion yang diperuntukkan di dalam bajet tahun lalu.

Jumlah itu meliputi RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, Ahmad berhadap tiada kementerian atau agensi mengembalikan semula wang peruntukan di bawah Belanjawan 2023 kepada MOF.

“Kita tidak gemar jika ada kementerian kembalikan peruntukan kerana ia menggambarkan ketidakcekapan.

"Jika ada asas-asas yang sepatutnya seperti pengambilan tanah yang tidak selesai untuk melakukan pembinaan misalnya, itu tidak mengapalah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!